Renungan...

Barangsiapa yang jernih hatinya, akan diperbaiki Allah pula pada yang nyata di wajahnya.
-Saidina Umar bin Al-Khatab

Mukadimah

Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti. - Saidina Ali bin Abi Thalib

Jumaat, 4 Februari 2011

Persahabatan di Terengganu



Dari gerak langkahnya, aku dapat kenal pasti bagaimana perihal orangnya. Dengan langkah yang agak cepat, dia menuju ke Masjid itu. Cantiknya dia! Itulah perkataan pertama yang aku gambarkan tentangnya. Pakaiannya, senyumannya, redup matanya boleh sahaja membuat hati para mujahid terusik. Sedangkan aku sendiri, seorang muslimah boleh terpikat dan kagum dengan personalitinya. Kulihat jari-jemarinya genggam mengerat sebuah tafsir al-Quran Darul Iman. Jubah warna kuning cair itu benar-benar menyerlahkannya. Terpaku aku ketika duduk di sebuah wakaf yang berdekatan dengan laluan masuk masjid tersebut.

Aku lihat dia seperti menunggu seseorang. Dia berjalan menuju ke arah wakaf yang aku duduki. Senyuman ramahnya menyapaku. Aku membalasnya. Agak janggal rasanya mahu berbicara dengan wanita sepertinya. Biarpun aku juga berpakaian sepertinya, tetapi aku berasa segan. Tambahan pula, aku dinegeri orang. Negeri yang tidak asing lagi dengan gelaran serambi Mekah.
Lamunan aku terhenti disaat dia mula menegurku memberi salam. Aku menjawabnya. Bertanya tentang umurku. Kulihat, bahasanya tidaklah sepekat mana. Menyedari loghat negeriku, dia bertanya tentang arah tujuanku. Aku yang sedang menanti ibuku selesai solat di masjid itu, bersembang ramah dengannya dibawah. Aku bertanya pula tentang tujuannya disitu. Rupa-rupanya dia sedang menunggu sahabatnya untuk masuk ke masjid tersebut. Ada pengajian disitu. Baru aku tahu rupanya dia masih muda daripada aku. Baru nak ambil PMR. Tetapi mukanya tidak semuda itu. Nampak matang. Malah wajahnya betul-betul menyamai wajah sahabatku di UiTM. Wajahnya yang putih kemerah-merahan itu aku amati, sangat bersih! Mudahnya dia ramah denganku.

Selepas beberapa minit bersembang dengannya, dia mengundur diri untuk ke masjid tersebut. Sudah bermula kelas, katanya. Aku pun terus menunggu ibuku. Agak lama juga mereka ni solat. Sebenarnya, kami ke Terengganu mengikuti rombongan guru-guru tadika. Kebetulan ibuku kenal rapat dengan mereka, diajaknya sekali. Aku yang sedang bercuti semester ketika itu pun turut mengikutinya. Teringin jugak untuk melihat negeri tersebut. Kebanyakan penduduknya adalah melayu dan beragama Islam. Jadi, agak susah untuk melihat restoran serta warung-warung bangsa lain. Seronok juga, senang nak cari kedai makan yang halal. Petanda-petanda jalan juga menggunakan tulisan jawi. Betul-betul bercirikan Islam. Lamunanku terhentia apabila ibuku sudah memanggil untuk menaiki bas walaupun kelihatan makcik-makcik yang turut bersama dalam rombongan kami masih sedang solat. Disaat aku mula melangkah, tangan aku ditarik oleh pelajar perempuan tadi. Terkejut aku. Dia bersama rakan pengajiaannya berhasrat untuk meminta penyelesaian bagi masalahnya. Aku tergamam tetapi masih menanti masalah mereka. Ceritanya, ada seorang rakan pengajiaannya, budak lelaki menyorok beg rakannya. Perbuatan budak lelaki itu dilihat oleh seorang rakannya. Tetapi mereka takut untuk mencerita hal sebenarnya kepada si pemilik beg tersebut. Aku tersenyum sendiri, sambil hatiku berbisik, masalah pelajar-pelajar sekolah. Sudah menjadi kebiasaan budak-budak lelaki ingin mengusik budak perempuan. Aku pun memberi penyelesaian yang terbaik dan alasan yang mampu aku berikan memandangkan ibuku sudah memanggil-manggil aku untuk naik bas.

Akhirnya, kami bersalaman dan berpelukan. Mereka juga ada mengambil nombor telefonku sebagai simpanan. Bukan itu sahaja, mereka juga memujukku untuk datang semula ke sana. Aku cuma tersenyum kerana aku tahu itu adalah mustahil melainkan aku menyambung pengajian dan berkahwin dengan orang disana. Ketawaku memikirkannya. Namun, itulah kenangan manisku apabila dapat menjalin hubungan persahabatan walaupun hanya seketika disana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan